Lasak kamera kompak Olympus

Kamera tersebut memiliki elemen kalis air, tahan beku, tahan hentakan, tahan gegaran dan tahan lasak.





PERNAHKAH anda terasa hodoh melihat gambar yang dirakamkan? Adakah muka anda kelihatan berkedut atau berminyak di dalam gambar? Itulah antara rungutan yang lazim dilontarkan. Masing-masing sudah tentu mahu tampil cantik dalam foto yang disimpan untuk kenangan.

Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan acara besar dalam hidup seperti majlis hari perkahwinan, bulan madu, hari jadi atau sekadar bercuti di pulau kegemaran.


OLYMPUS memperkenalkan 10 kamera kompak di Malaysia dengan elemen ketahanan.


Benar, kamera biasa tidak mampu menyediakan keupayaan tersebut. Lazimnya, ia merakamkan serupa seperti yang dilihat menerusi lensa.

Dengan penggunaan perisian seperti Photoshop, kadangkala anda perlu menghabiskan banyak masa untuk mengubahsuai dan mengemaskinikan garisan-garisan halus dan parut.

1070 boleh mengubah nasib anda. Bagaikan sentuhan magis dalam masa beberapa saat sahaja, gambar yang dirakamkan menerusi lensa 1070 mengeluarkan imej yang lebih jelas seperti telah disunting.


SEBAHAGIAN daripada kamera Olympus yang dilancarkan.


Warna kulit muka nampak lebih cerah dan sekata, tanpa cacat-cela dan mata juga lebih menonjol.

"Imej yang dilihat adalah seperti anda baru mendapat rawatan muka SK-II biarpun anda tidak berbelanja sesen pun. Hasilnya cukup menakjubkan," jelas Yong Kee Nyap, Penolong Pengurus Besar, Bahagian Sistem Imejan, Olympus (Malaysia) Sdn Bhd. Tambahnya: "Masa yang diambil pun tidak melebihi 10 saat."

1070 adalah salah satu daripada rangkaian kamera digital kompak yang dilancarkan baru-baru ini bersempena sambutan Tahun Baru 2009. Sebagai salah sebuah jenama opto-kamera yang menerajui industri pasaran dunia, Olympus turut memperkenalkan sembilan lagi kamera kompak di Malaysia dengan elemen ketahanan yang berbaloi bagi setiap wang ringgit yang dibelanjakan.

Elemen tersebut ialah kalis air, tahan beku, tahan hentakan, tahan gegaran dan tahan lasak.


PERBEZAAN hasil gambar daripada kamera biasa (A) dan kamera Olympus.


Menawarkan koleksi yang pelbagai mengikut keperluan pengguna, ia adalah sebuah kamera yang harus dimiliki oleh setiap orang, sama ada mereka yang terlibat dalam bidang fotografi mahupun amatur yang baru berjinak-jinak.

Dalam rangkaian musim bunga panas ini, Olympus menyajikan (mju) Tough 6000, Tough 8000, 550 WP, 1070, 9000, 7000, siri SP yakni SP 590UZ dan siri kamera mudah dan menyeronokkan iaitu FE-45, FE-3010 dan FE-5010.

"mju SW kini mengorak langkah dengan penampilan yang memiliki 'wajah' dan deskripsi bernafas baru. Apatah lagi, dua daripada kamera yang ditayangkan memiliki ciri-ciri ketahanan yang unggul iaitu Tough 6000 dan Tough 8000.

"Ini kerana kedua-dua siri Tough memudahkan pengguna mengendalikan kamera tanpa perlu memahami fungsian teknikal yang agak kompleks. Kelebihan tersebut cukup unik dan mesra," ujar Tan Tick Boon, Pengarah Urusan Olympus (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini.




Sejak mju SW diperkenalkan seawal tahun 2006, produk utama Olympus telah mencapai beberapa rekod kejayaan di peringkat dunia bagi aspek revolusi dan inovasi yang dipertontonkan secara agresif. Sebagai contoh, apabila 720 SW diperkenalkan, ia cuma memiliki elemen kalis air dan tahan kejutan.

Namun, kesinambungan kajian dan pembangunan (R&D) membuahkan hasil yang lebih produktif. Ia menyediakan kejituan kamera Olympus kalis debu, tahan beku sehingga takat beku di bawah -10 darjah Celsius dan tahan hentakan sehingga 100 kilogram.

"Ini adalah ciri-ciri kamera Olympus terkini walaupun penyelidikannya bermula sejak beberapa tahun kebelakangan lalu. Ia pasti memberi saingan yang hebat," ujar Tick Boon yang bangga dengan pengiktirafan yang digondol, iaitu Anugerah AISA.

Malah, sehingga hujung bulan Mac 2008, sasaran jualan bagi tahun tersebut mencecah RM100 juta. Kejayaan yang paling membanggakan ialah pembangunan Micro Four Thirds System Standard dan E-30, lensa kamera jenis DLSR yang boleh diubah. Produk itu kini sudahpun berada di pasaran.

10 model itu dipercayai mampu mengisi kekosongan yang wujud di pasaran industri kamera. Dalam pada itu, empat daripada model kamera tersebut berjaya mencuri perhatian memandangkan ia menyampaikan kegunaan yang penting.




Tough 6000, Tough 8000, 1070 dan 9000 adalah empat koleksi khas tersebut. "Tough 6000 dan Tough 8000 dicipta untuk tahan dalam cuaca yang paling buruk tetapi masih datang dalam pakej yang nipis dan stailo," ujar Tan.

Sementara itu, 9000 pula menekankan optikal zoom 10x yang didatangkan dengan saiz sebesar 28 milimetre. Ia diakui sebagai badan kamera yang paling nipis dan terkecil di dunia.

Bagi mereka yang mementingkan fesyen, 1070 adalah jawapannya. Ia hanya setebal 16.5 milimeter dan seberat 180 gram sahaja tanpa kad dan bateri. Pada saiz ini, fungsiannya tidak pernah dipelekehkan kerana CCD 12 mega piksel dan optikal zoom 3x menawarkan mod kecantikan yang dijelaskan.

Ciri baru ini memberi 'sentuhan mekap' segera dengan mengesan wajah seseorang dalam gambar dan dikemaskinikan mengikut kesesuaian.

Tough 6000 dan FE-45 masing-masing akan dijual pada harga RM1,299 dan RM499 manakala FE-3010, 550 WP, Tough 8000 dan 9000 akan dipasarkan mulai bulan Februari ini dan FE-5010, 1070, 7000 dan SP 590UZ pula pada bulan Mac.

Britain huru-hara akibat salji lebat


BEBERAPA pesawat komersial tersadai selepas lapangan terbang Heathrow di London dilitupi salji tebal.

LONDON - Salji lebat mencetuskan huru-hara di serata Britain ketika pihak berkuasa kehabisan garam untuk memastikan jalan raya dapat digunakan lalu lintas.

Jabatan kaji cuaca negara itu meramalkan hujan salji akan melanda selatan England pada pagi ini.

Landasan lapangan terbang di Midlands, Wales Selatan, tenggara England dan Scotland terpaksa ditutup berikutan salji setebal 15 sentimeter meliputi kawasan tersebut sekali gus menyebabkan banyak penerbangan ditangguh atau dibatalkan.

Semua pembedahan hospital, perkhidmatan bas serta kereta api di keempat-empat kawasan itu turut dibatalkan.

Persatuan Automobil Britain menyatakan banyak jalan raya dan lorong negara itu tidak selamat untuk dilalui berikutan pembentukan ais.

"Ditambah dengan ramalan cuaca bahawa salji dan cuaca beku bakal berterusan untuk lima hari lagi, banyak jalan raya akan menjadi perangkap maut," kata persatuan itu.


SALJI tebal menyebabkan gangguan lalu lintas teruk ke lapangan terbang Luton, London semalam.

Setiausaha Pengangkutan, Geoff Hoon pula berkata, pihak berkuasa tempatan hanya dapat melakukan apa yang termampu berikutan musim sejuk kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 18 tahun.

"Kita tidak dapat membuka setiap jalan di negara ini kerana keadaan cuaca buruk yang serius sejak beberapa hari lalu," katanya di radio.

Katanya, Agensi Lebuh Raya meletakkan 25,000 tan garam di jalan-jalan utama setiap hari manakala para pengilang hanya dapat membekalkan 30,000 tan garam seminggu.

UFO ceroboh Britain 285 kali tahun yang lalu


LAKARAN artis mengenai perbandingan UFO dan sebuah pesawat.
LONDON - Kementerian Pertahanan Britain semalam mendedahkan terdapat 285 kemunculan objek terbang tidak dikenali (UFO) di negara itu sepanjang tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Pendedahan mengejutkan itu turut melibatkan UFO pelbagai rupa dan saiz termasuk yang dilihat oleh seorang anggota polis berlegar-legar di ruang udara Parlimen negara ini.

Seorang anggota polis di Essex turut melihat sebuah UFO berlegar-legar di udara pada awal tahun lalu manakala dalam satu insiden pada Mac, seorang saksi mendakwa melihat sebuah UFO yang 20 kali lebih besar berbanding kapal terbang.

Seorang pegawai penyiasat UFO, Nick Pope berkata, warna UFO selalunya seperti warna kapal tebang sehingga ia sukar untuk dibezakan.

Satu laporan Parlimen menyatakan, penemuan pada 12 tahun lalu Februari mendapati UFO berkenaan mengeluarkan cahaya hijau, merah dan putih. - Agensi

Pelarian didera tentera Thailand


PELARIAN Rohingya yang mendakwa dipukul tentera Thailand menerima rawatan di hospital, Aceh, semalam.
IDI RAYEUK: Luka dan kesan sebatan pada tubuh kira-kira 200 pelarian Rohingya yang diselamatkan di perairan Indonesia minggu ini, menyokong dakwaan mereka didera tentera Thailand, kata anggota perubatan.

Ketua Hospital Negeri Idi, di Aceh, Zulfikry, berkata kecederaan pada tubuh itu konsisten dengan dakwaan didera tentera Thailand. Seramai 68 pelarian masih dirawat di hospital itu.

"Kami melihat tanda pada kulit mereka, berkemungkinan besar kesan dipukul dengan objek tumpul seperti kayu atau cabuk," katanya. Apabila luka kering selepas menerima rawatan kesannya pukulan dapat dilihat dengan jelas.

Seramai 198 pelarian Islam Rohingya dari Myanmar yang diselamatkan di perairan Sumatera Isnin lalu, berkata mereka ditahan dan dipukul sebelum dipaksa kembali ke laut oleh tentera Thailand bersama sedikit bekalan selepas tiba di negara itu tahun lalu.